Friday, January 9, 2015

Me, 50mm and Kelantan - Banjir 2014/2015

Kisah kalini merupakan jurnal aku semasa di Kelantan untuk bantuan kemanusiaan akibat banjir besar baru-baru ni. Aku cuma bawa kamera fullframe aku dengan lensa 50mm. Apa yang aku nak kongsikan disini adalah setiap gambar ada ceritanya sendiri. Harap korang semua dapat menghayati pengalaman aku semasa di sana.


Pemandangan Jambatan Kusial di Tanah Merah dari tebing sungai. Kelihatan kesan lumut di tebing yang menunjukkan paras air yang tinggi semasa musim hujan. Pada setiap tiang jambatan kelihatan ranting-ranting, batang-batang pokok serta sampah sarap sangkut akibat arus deras. Jika diperhatikan dengan betul, ada seorang pemuda sedang menarik balak hanyut dengan sampan bermotornya. Mungkin ini rezekinya selepas banjir besar.


Kucing ini terselamat dari arus deras kerana berpaut pada pokok sepanjang air naik. Haiwan kesayangan Rasulullah ini tabah dan kuat mengharungi dugaan. Yang peliknya, hampir kesemua kucing-kucing yang kami jumpa gemuk-gemuk belaka, subhanallah.


Pemandangan jalan di Temangan Lama Tepi Sungai. Kelihatan perabut-perabut yang rosak berada disepanjang jalan ini. Ada yang disusun oleh penduduk setempat ada yang dibawa arus. Dari jauh kita boleh nampak bahawa bekalan air bersih mula diberi kepada penduduk. Syabas Jabatan Bekalan Air Kelantan.


Aku difahamkan bahawa kanak-kanak perempuan 10 tahun ini berasal dari Ipoh Perak. Ibu bapanya hantar balik ke kampung supaya dia belajar cara hidup dikampung supaya anaknya rasa betapa susah untuk senang dan kemewahan bukan datang dari langit. Tetapi apa yang berlaku lebih dari jangkaan warisnya kerana banjir telah mengajar kanak-kanak ini menjadi insan yang sangat berguna. Mengikut ibunya selepas banjir anaknya berubah 360darjah. Lebih banyak menolong dari menyuruh. Semasa banjir ibu-bapanya datang dari Ipoh ke Kelantan melalui Grik, tetapi apa yang belaku mereka terpaksa patah balik dan ikut jalan di Cameron Highlands akibat tanah runtuh di Grik. Ini adalah pengorbanan ibu-bapa terhadap anak-anak yang kadang-kadang anak-anak kita tidak tahu.


Adik dan abang bertungkus-lumus membantu datuk dan neneknya membersihkan rumah. Yang menariknya, walaupun penat mereka berdua ini sentiasa senyum.


Kalau nak bersihkan rumah selepas banjir beginilah keadaannya. Makcik ni telah jemput aku masuk kedalam rumahnya untuk lihat keadaan rumahnya selepas banjir.


Kisah Kucing: Tak mungkin tuannya akan jual atau serah kepada orang lain selepas apa yang berlaku. Kisah kucing ini hampir membuatkan aku menitis air mata. Apa yang berlaku, sebelum banjir tiba, kucing ni bawa 4 ekor anak-anaknya naik ke bumbung rumah dan sepanjang hari bising. Perangainya menghairankan tuannya sehingga air deras tiba dikawasan itu. Rupa-rupanya kucing tahu lebih awal yang air akan naik. Apa yang sedihnya selepas air surut yang terselamat hanya si ibu dan seekor anaknya. Mungkin lagi 3 ekor dibawa arus.


Rak makanan yang dibawa arus dan bukan milik sesiapa yang berada dikawasan berkenaan.


Ini bukan beras yang dibuang, bukannya penduduk disini membazir setelah dapat bekalan baru tetapi beras sekampit ini takdapat digunakan lagi akibat bocor di satu dua tempat. Selut masuk dan rosakkan sekampit beras.


Kisah Sampan: Sampan inilah yang selamatkan sekeluarga dan sampan inilah yang hampir meragut nyawa sekeluarga yang sama. Apa yang berlaku adalah semasa air naik, suami, isteri dan anak kembar mereka yang berumur setahun cuba selamatkan diri mereka dengan sampan ini, tetapi akibat arus deras sampan ini terbalik dan si isteri dan anak lemas akibat tidak tahu berenang. Alhamdulillah si isteri dan anak kembar mereka selamat kerana berpaut pada pokok. Cuba bayangkan, anak mereka yang berumur setahun ada tenaga dan kederat untuk berpaut pada pokok, memang ajaib. Dari mana mereka dapat tenaga dan kesedaran itu? Wallahualam. Subhanallah


Segar sepanjang hari? Rasanya tidak lagi.


Nak cuci atau nak tukar? Banyak kenderaan-kenderaan kegunaan harian rosak akibat banjir. Ada yang bertindak cepat dengan mencabut bateri sebelum air naik. Apa yang mekanik buat cuma bersihkan enjin, betulkan wayaring dan tukar bateri baharu.


Ijab kabul yang terpaksa ditangguh tarikh. Perlukah aku terang kenapa? Rasanya tidak.


Hanya masa yang menentukannya untuk bersatu bersama


Apa yang kita dapat lihat disini adalah hentian bas yang telah dijadikan penempatan sementara. Kami berhenti dan beri sumbangan kepada mangsa yang merupakan saudara mak aku. Rumah mereka dalam kebun getah telah dinaiki air hingga paras bumbung.


Pemandangan dihadapan rumah saudara aku di dalam kebun getah/kelapa sawit. Tak pasti samada boleh digunakan lagi. Redha dan kuatkan minda, itu saja yang ada.


Kelihatan pemuda ini yang merupakan saudara aku sedang membuat wayaring sementara untuk bekalan elektrik dirumah mereka.


Rumah dua tingkat, rasanya korang boleh nampak kot aras air tinggi mana? Jadi kurangkanlah mengeruhkan keadaan dengan fahaman politik dan datang bantu mereka yang susah.


Apa yang aku ingin kongsikan disini adalah kesan selepas banjir. Tanah merah dan selut di merata-rata tempat dan ada yang hingga ke bumbung rumah. Dalam kesenangan kita, fikirkan juga mereka yang tidak bernasib baik.

Syukur alhamdulillah pada ketika ini bekalan air bersih telah masuk ke kawasan ini. Bilik air masih tak boleh digunakan akibat terlampau kotor, jadi cara yang terbaik adalah mandi dengan cara begini. Kanak-kanak ini diberi peluang oleh ayahnya untuk bermain dalam baldi besar. Latar belakang jelas kelihatan keadaan masih berlumpur.


Ini merupakan laluan harian penduduk disini untuk menoreh getah setiap hari. Tetapi buat masa sekarang keadaan tak mengizinkan. Apa yang penting adalah membaiki keperluan asas yang lebih penting seperti paip air dan bekalan elektrik.


Tanah perkuburan di Temangan Lama Tepi Sungai. Kubur ni adalah kubur nenek aku. Kami semua terdiam tak terkata apa-apa kerana mengikut saudara aku, kawasan ini dinaiki air tetapi cuba lehat keadaan sekeliling, hijau tanpa kesan tanah merah dan lumpur. Subhanallah

Mak aku sedang bersihkan kubur ibunya(nenek aku)


Al-fatihah


Aku bukan nak promo National Geographic tetapi aku nak tunjuk betapa tinggi aras air naik sewaktu banjir. Korang boleh nampak kan kesan tanah merah dan lumpur pada pokok. Tinggi itu lah paras air naik.


Pemandangan sepanjang jalan di Pekan Lama Temangan. Tak perlu untuk aku cerita lebih lagi.


Apa boleh buat? Tabah dan kuatkan hati. Dalam keaadan sekarang apa yang mangsa-mangsa ini perlukan adalah sokongan moral yang kuat dari kita semua. Ketepikan fahaman politik masing-masing dan bantu mereka ini.


Agak korang berapa lama makcik ni akan ambil untuk bersihkan kawasan rumahnya?

Masih mampu tersenyum


Barang-barang yang masih boleh digunakan lagi diasing untuk dibersihkan.


Ingin baiki TV rosak? Hubungi SinTV. 


Rumah usang yang telah ditinggalkan.


Makan petang kami setelah selesai misi pertama di Temangan. Sebelum ke Paloh Rawa, Tanah Merah kami isi perut dulu untuk sedikit kekuatan.


Syafiq dan Ayen dihiburkan oleh pakcik-pakcik yang sedang minum kopi. Walaupun telah ditimpa banjir pakcik-pakcik ni masih mampu untuk menghiburkan kami.


Hampir semua rumah di sebuah kampung di Paloh Rawa dalam keadaan sebegini. Air sungai melimpah dicampur dengan air bukit yang mengakibatkan ia naik hingga paras bumbung. Perabut-perabut, barangan elektrik kelihatan dijemur dengan harapan ia boleh digunakan lagi. Ada segelintir penduduk disini tak mahu terima bantuan kerana fahaman politik yang tak sama. Aku tak faham kenapa perlu berfikiran sebegini. Ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Bersatulah wahai bangsaku.


Kebun pisang ini merupakan salah-satu punca pendapatan penduduk disini. Buat sementara waktu tidak lagi.


Pacat.


Selamatkan apa yang patut.


Lokustania(isteri aku) sedang sibuk mengangkat barang-barang keperluan untuk dibedak sesama jiran.


Ayen merupakan salah seorang pemain tenis dari Pakya/Herman Tennis Coaching. Ibu bapanya sengaja membenarkan kami bawa ke Kelantan supaya belajar bersyukur.


Syafiq juga seperti Ayen. Kita perlu anak-anak muda remaja seperti mereka untuk bantu mangsa-mangsa disini.


Hari Kedua kami di Kota Bharu. Awal pagi jam 10 kami tunggu di kedai sukan kerana ada lelong baju-baju, kasut dan alatan sukan. Kebanyakan kedai disini terpaksa buat lelong kerana air naik.


Orang-orang kuat yang bantu kami dalam misi bantuan banjir ke Kelantan. Syafiq dan Ayen merupakan pemain tenis dari Pakya/Herman Tennis Coaching. Sebelum ini mereka hidup mewah dan diberi peluang untuk lihat mereka yang susah akibat banjir di Kelantan. Aku difahamkan bahawa ibu bapa mereka bangga dengan mereka. Fahmi adalah kawan baik aku yang sanggup ambil cuti semata-mata untuk bantu kami. Terima kasih korang.


Lokustania bersama saudara-saudara aku di Slow Machang, Pasir Mas. Dia disangka artis oleh kanak-kanak ini.


Kisah kelakarnya, kanak-kanak ini ikut saja kemana Suhana pergi. 


Kucing ini sedang rehat seolah-olah lega banjir dah surut.

Kanak-kanak kecil bermain air sambil diperhatikan oleh ibunya diseberang jalan.


Lega banjir dah surut. Selepas ini kita tak boleh guna ayat "Bodoh Macam Lembu" kerana lembu ini pandai selamatkan diri dari banjir.


Haa kan aku dah cakap!

Kelihatan pakcik tua sedang kayuh basikal dari surau berdekatan. 


Apa yang berlaku dalam kampung ini air telah naik sehingga hampir 3 ke 4meter. Yang sedihnya bantuan tidak sampai sehingga kedalam kampung akibat sikap pentingkan diri sendiri dan fahaman politik masing-masing. Tak kisah lah HIJAU atau BIRU, dalam keadaan macam ni bantu semua, Astagfirullah!


Bilik air yang sebelum ini digunakan untuk bersihkan diri.


Dapur yang pernah digunakan untuk masak bagi seisi keluarga.


Lantai masih lagii dipenuhi tanah merah dan berdebu. 


Keadaan sungai di Bandar Pasir Mas. Hujan yang merungsingkan semua penduduk tempatan.


Apa yang boleh aku ringkaskan disini adalah betapa deras arus sungai sehingga rosak pokok-pokok ditepi tebing. Kesan lumpur pada tebing meninjukkan ketinggian paras air yang naik.


Air sungai naik sehingga paras Merah.


Inilah pasukan kami yang ke Kelantan, kami tidak mewakili mana-mana parti politik atau NGO, ini adalah inisiatif kami sendiri. Sumbangan yang kami terima dari rakan-rakan yang datang dari pelbagai bangsa, agama dan fahaman politik masing-masing ada juga orang luar yang memberi sumbangan untuk bantu mangsa banjir. Semangat Malaysia ini masih wujud dan harus di kuatkan lagi. Walaupun kami tersenyum tetapi dalam hati kami terkilan kerana tak puas memberi. Insyaallah kami akan datang kembali untuk fasa yang kedua.


Askar Bantuan Tambahan yang ditugaskan ke Manik Urai untuk membantu membina rumah-rumah sementara, membaiki jambatan dan juga membina surau. Terima kasih abang-abang askar.


Pemandangan dari RNR Titiwangsa. Ketika ini kami terima sms dari Kuala Krai mengatakan air sungai naik semula akibat dari hujan semalaman.


Terima Kasih kepada semua yang dapat menghayati pengalaman kami disana. Apa yang aku nak simpulkan disini dalam keadaan macam ni kita ketepikan fahaman politik, kita kan seagama satu kiblat, kenapa nak kategorikan sesama kita kerana politik? Pemimpin atasan semua parti politik ingin bantu semua mangsa banjir di Kelantan tetapi kenapa pelaksana, sukarelawan dan macai memilih kawasan untuk diberi bantuan? Dalam masa yang sama, mangsa-mangsa banjir juga tidak matang dengan memilih bantuan datang dari mana. Kenapa nak berfikiran sedemikian? Ianya datang dari rakyat Malaysia yang prihatin. Tolong lah, dalam keadaan macam ini ketepikan fahaman politik, ini bukan masanya untuk taksub dan fanatik dengan bendera masing-masing. Bantu dengan ikhlas kerana ALLAH S.W.T.

2 comments:

  1. Bang, terima kasih untuk semua gambar-gambar ni.
    Semuanya benar-benar buat saya lebih mensyukuri segala apa yg ada di langit dan bumi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kerana sudi luangkan masa baca blog aku ni. Aku sangat-sangat menghargainya

      Delete